DANIA, gadis kota yang liar, mengandung anak luar nikah.
Akibat nya, papanya, Datuk Safuan mendesak agar kandungan itu digugurkan. Namun, kerana tidak mahu menanggung dosa, mamanya, Datin Kay terpaksa melarikannya ke Pusat Perlindungan Wadi Saffiyyah, tempat perlindungan gadis-gadis bermasalah sosial.
Sepanjang tinggal di Wadi Saffiyyah, Dania sentiasa bermunajat kepada ALLAH. Walaupun dosa yang ditanggung selama ini tidak mampu mengembalikan lelaki yang bertanggungjawab atas kandungannya itu, dia pasrah.
Baginya dia harus meneruskan kehidupan sehingga anaknya lahir. Dalam diam, dia terpaut pada sifat-sifat mulia Ustaz Iqbal salah seorang tenaga pengajar di Wadi Saffiyyah.
Namun, bila difikirkan, mana mungkin dirinya yang kotor jatuh hati pada insan semulia Iqbal? Sehinggalah suatu hari, dia menerima hadiah pemain MP3 dan al-Quran kecil daripada lelaki itu.
Apakah maknanya ini? Adakah Iqbal juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Iqbal pernah menyatakan kepadanya bahawa dia harus mencintai ALLAH dan Rasul-NYA terlebih dahulu sebelum dia mencintai sesama manusia. Dania bimbang dengan kenyataan ini. Takut dia bertepuk sebelah tangan.
SEBENAR-BENAR CINTA
Cinta kepada ALLAH sangat berbeza segala-galanya.Saat cinta kepada manusia membawa kesedihan, hanya cinta kepada ALLAH membawa kedamaian.
Saat cinta insan membawa kehancuran, hanya kepada ALLAH membawa kebahagiaan.
Sebaliknya, cinta kepada ALLAH adalah sebenar-benar cinta hakiki yang pasti membawa bahagia tika di dunia dan akhirat kelak.
Kerana itulah apabila kekuatan cinta kepada ALLAH melebihi segala-galanya, manusia tidak akan takut untuk berdepan dengan kegagalan cinta sesama insan.
Dan kecintaan yang mendalam kepada ALLAH tidak akan membuatkan seseorang itu terburu-buru untuk melafazkan kata cintanya kepada orang yang tersayang.
AKU CINTA DIA lahir dari kesedaran bahawa cinta kepada ALLAH adalah sebaik-baik cinta yang harus dimiliki manusia.
Namun, kadang kala kesedaran ini sukar diterjemahkan dalam ayat biasa, lantas golongan remaja terutamanya, gagal untuk memahami pengertian cinta kepada ALLAH itu sebenarnya.
Cinta kepada insan lebih kepada sesuatu yang melalaikan, sedangkan cinta kepada ALLAH bakal memberi ketenangan, kedamaian dan kebahagiaan.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa setiap insan memiliki perasaan cinta yang amat indah, ingin mencintai dan dicintai dan mahu cinta mereka diakhiri dengan perkahwinan.
Tetapi cinta yang indah itu kadang kala sangat menakutkan.
Kerana kegagalan cinta menjadikan insan merana dan berasa hidup sudah tidak bermakna.
Maka, jadilah cinta itu sebagai kepahitan yang begitu mengecewakan dan menyakitkan perasaan.
Melalui novel ini, pengertian CINTA itu akan lebih difahami oleh setiap pembaca.
Tidak ada cinta yang lebih agung selain cinta kepada ALLAH dan Rasul-NYA.
Maka, apabila anda bercinta, janganlah cinta itu melebihi cinta kepada ALLAH dan Rasul-NYA.
Semoga novel ini dapat membuka satu lagi dimensi baru dalam kehidupan anda yang sedang mencari-cari satu pengertian cinta yang hakiki. Insya-ALLAH..
-Sharifah Abu Salem-
0 comments:
Post a Comment